Cari-cari penawar

Share It Now

Mandi Limau Nipis



Mandi Limau
 
Mandi limau adalah salah satu kaedah yang digunakan oleh Darussalam untuk membantu mengubati penyakit atau masalah yang berkaitan dengan makhluk halus. Limau yang digunakan adalah limau purut atau limau nipis yang masih segar atau limau yang mempunyai air yang banyak untuk diperah dan dicampurkan dalam air mandian.

Kebiasaannya kami Darussalam menggunakan sebanyak 3 biji limau setiap kali mandian. Walaubagaimanapun angka atau bilangan itu bukanlah suatu perkara yang mesti begitu, dengan kata lain boleh sahaja digunakan beberapa biji limau sekalipun asalkan air mandian itu ada terasa perahan limau atau bauannya. Sehingga sekiranya tiada limau, pesakit hendaklah teruskan mandian walaupun tanpa limau kerana mandian itu sendiri adalah kaedah untuk membantu rawatan sahaja.

Cara potongan limau juga bukanlah suatu perkara yang mustahak dan tiada kaedah khusus untuk memotong limau, apa yang lebih penting ialah bagaimana untuk mendapatkan air perahan limau itu. Oleh yang demikian pemotongan limau dengan berbagai kaedah samada membujur atau melintang boleh digunapakai dan bukan menjadi salah satu syarat potongan limau. Mungkin saya boleh katakan sekiranya anda terlalu kuat dan gagah sehingga boleh perah dan dapatkan air limau tanpa belahan atau potongan terlebih dahulu, maka itu pun dibolehkan kerana yang penting ialah dapat air limau dan bauannya.


Sekiranya ditanya, bolehkan diperah menggunakan alat pemerah buah-buahan atau alat pemerah jus limau?Jawabnya dibolehkan tetapi tangan yang membaca bismillah dan menyentuh langsung limau itu serta diperahkan adalah lebih baik .

Waktu / Masa Mandi

Waktu mandi untuk mengubati kebanyakan penyakit khususnya penyakit atau masalah yang melibatkan gangguan makhluk halus , Darussalam mencadangkan agar pesakit melakukan mandian antara asar dan maghrib kerana itu adalah waktu yang paling sesuai bagi melawan kemaraan karenah jin dan makhluk halus. 

Dikatakan bahawa jin kebiasaannya melakukakan operasinya antara asar dan maghrib atau selepas pertengahan malam iaitu selepas jam 12.00 mlm. Mengambilkira yang demikian, mandian perubatan yang paling baik adalah antara asar dan maghrib, kalau tak sempat maka dicadangkan mandi pada jam 12.00 malam, sekiranya menyusahkan dan mempunyai masalah tentang waktu mandi, pesakit boleh memilih mana-mana masa kelapangan untuk melakukan mandian. 

Apapun masalah dan halangan, mandi seboleh-bolehnya mesti dilakukan setiap hari untuk mempercepatkan penyembuhan. Pilihlah mana-mana waktu yang sesuai bagi diri anda sekiranya waktu yang dicadangkan tidak memihak kepada anda.