Penyakit Buasir atau Hemoroid adalah penyakit yang terjadi pada
bahagian dubur. Penyakit ini dapat dikesan apabila saluran dubur
membengkak. Ianya boleh berlaku sama ada di dalam dubur atau di kawasan
luar. Biasanya pesakit akan berasa sakit kesan tekanan otot dubur ke
atas bengkak tersebut sehingga menyebabkan proses pembuangan air besar
menjadi amat perit. Bengkak itu terjadi disebabkan oleh pengembangan
saluran darah pada sel-sel yang melapisi saluran dubur. Selain bengkak
pada saluran dubur, pendarahan semasa membuang air besar juga terjadi
disebabkan oleh luka apabila najis keras bergesel dengan buasir.
Terdapat 4 peringkat yang menggambarkan keseriusan penyakit buasir tersebut :
Tahap 1: Berlaku pendarahan dan bengkak menonjol keluar.
Tahap 2: Disebabkan oleh pergerakan usus, bengkak akan keluar tetapi secara spontan akan kembali ke dalam (saluran dubur ).
Tahap
3: Keadaan yang sama seperti tahap 2, tetapi bengkak tersebut akan
hanya berada di dalam setelah ditolak masuk secara fizikal.
Tahap 4: Darah pekat keluar, menyebabkan rasa sakit dan susah untuk meneran. Buasir akan berada di luar kawasan dubur.
Faktor atau Penyebab:
a. Regangan yang melampau semasa pergerakan usus atau ketika sembelit.
b. Cirit-birit yang kronik.
c. Kurangnya pengambilan makanan berserat dalam diet harian.
d. Mengandung atau bersalin.
Simptom-Simptom Penyakit Buasir:
1. Rasa sakit yang berdenyut-denyut.
2. Pendarahan berlaku selepas dan sebelum membuang air besar.
3. Darah menitis dan tersembur keluar dari saluran dubur.
4. Dalam tempoh pendarahan ini, pesakit itu boleh mengalami kekurangan darah.
5.
Ada yang tidak mengalami pendarahan, tetapi dikenali sebagai
pembengkakan dubur. Bengkak ini keluar selepas membuang najis.
Kadangkala untuk tempuh sementara, kurang sakit tetapi ada rasa
gatal-gatal.
Lazimnya, buasir ini tidak terasa sakit dan
gatal kerana ia terletak jauh ke dalam rektum. Buasir dalaman tidak
merbahaya tetapi meneran dan gangguan dari laluan najis semasa membuang
air besar boleh mencederakan permukaan buasir yang getas dan
menyebabkannya berdarah. Anda akan terlihat titisan darah yang berwarna
merah cerah pada kertas tisu atau di mangkuk tandas. Jika keadaan ini
berlaku anda perlu mendapat bantuan perubatan, kerana darah tersebut
mungkin datang dari sumber lain seperti ketumbuhan atau kanser
kolorektum.
Selain daripada bengkak yang amat ketara
ketika mengalami buasir, tanda-tanda lain termasuklah rasa gatal pada
lubang dubur, rasa kepanasan pada kawasan dubur selepas membuang air
besar, rasa sakit yang berdenyut-denyut, sukar untuk membuang air besar
dan rasa tidak selesa pada bahagian dubur apabila berdiri lama atau
bertinggung. Kesakitan pada bahagian dubur menyebabkan pesakit akan
mengalami perubahan di dalam corak membuang air besar.
Buasir Luaran - Buasir
jenis inilah yang selalu kita dengar mengakibatkan gejala-gejala
seperti sakit, pedih dan gatal di dubur. Jika buasir ini tersepit
(bekalan darah akan terputus), bekuan darah akan terjadi di dalamnya
menyebabkan ia terasa amat sakit. Gejala-gejala beginilah yang
menyebabkan buasir jenis ini memerlukan perhatian dan rawatan perubatan.
Apabila sahaja salur darah vena rektum teregang atau memberi dan
terjadinya buasir adalah sukar untuk ia dibuang atau ditanggalkan
sepenuhnya. Buasir ini akan berulang kembali walaupun dengan tekanan
atau bebanan yang lebih ringan berbanding dengan yang dahulunya.
Untuk
melegakan kesakitan ketika diserang buasir, pesakit disyorkan agar
kerap membuang air besar dan memastikan najis tidak keras serta menjaga
kebersihan diri terutama sekali di kawasan dubur dan menggunakan ubat
buasir. Untuk mengatasi sembelit dan memastikan najis berkeadaan lembut,
pesakit disyorkan meminum banyak air dan mengambil lebih sayur-sayuran
dan buah-buahan. Jika langkah ini tidak juga berkesan pesakit boleh
mendapatkan ubat yang melembutkan najis seperti Metamucil ataupun julap yang menggalakkan pembuangan air besar yang lebih kerap seperti Milk of Magnesia.
Untuk
menjaga kebersihan pada kawasan dubur, pesakit digalakkan untuk mencuci
kawasan tersebut dengan lebih kerap dengan menggunakan sabun dan air
selepas membuang air besar. Selain itu pesakit juga boleh merendamkan
diri dalam air suam dua atau tiga kali sehari untuk selama 15 minit.
Garam mandian juga boleh digunakan kerana ia berupaya untuk mengecutkan
kawasan dubur yang bengkak.
Risiko Mendapat Buasir
Faktor-faktor
yang boleh menyebabkan seseorang itu mempunyai risiko yang lebih
tinggi untuk mendapat buasir adalah seperti berikut:
1. Keturunan iaitu mempunyai ahli keluarga yang ada penyakit buasir
2. Wanita mengandung
3. Batuk yang melampau dan berpanjangan boleh juga membawa kepada penyakit buasir
4. Meneran semasa membuang air besar
Petua Perubatan Tradisional Melayu
Pilihan 1:
Ambil 7 biji ciku muda sebesar ibu jari. Rebus dan minum air rebusannya
setiap pagi. Jadikan ia sebagai amalan setiap hari sehingga masalah
buasir anda berkurangan dan lega.
Pilihan 2:
Ambil buah tomato yang hampir masak dan goreng dengan sedikit minyak.
Biarkan ia sejuk. Setelah itu sapukan pada bahagian buasir. Jadikan ini
sebagai amalan sehingga buasir anda pulih.
Pilihan 3:
Ambil segenggam daun pokok semambu. Tumbuk dan campurkan dengan sedikit
garam untuk mengurangkan rasa pahit. Minum air daun tersebut dan sapu
sedikit di bahagian buasir.
Petua Menghindari Penyakit Buasir
1.
Batuk, cirit-birit dan sembelit yang dialami perlu dirawat seawal
mungkin. Masalah yang berpanjangan boleh membawa kepada masalah buasir.
2. Jika perlu duduk dalam jangka masa yang panjang, cuba bangun dan berjalan-jalan sekurang-kurangnya 5 minit setiap 1 jam
3. Ketika mengangkat sesuatu atau ketegangan,hembuskan nafas keluar, jangan tahan nafas.
4.
Amalkan tabiat buang air besar yang baik. Jangan mengambil masa yang
lama dalam tandas. Pastikan najis sentiasa lembut dengan memakan makanan
yang tinggi serat, bijirin, buah-buahan dan sayur-sayuran.
5. Banyakkan meminum air. Paling minimum 1.5 – 2 liter sehari
6.
Mengamalkan cara makanan yang seimbang juga dapat menghindari dari
penyakit buasir. Penekanan adalah lebih kepada memakan makanan tinggi
serat, bijirin, buah-buahan dan sayur-sayuran.
7. Cuba tetapkan masa penggunaan tandas. Contohnya, selepas bangun tidur setelah meminum segelas besar air.
8.
Masalah buasir juga boleh dielakkan dengan tidak memakan makanan yang
boleh menyebabkan gangguan (makanan pedas atau berempah, alkohol) atau
yang boleh merangsangkan usus (kopi atau teh).
9. Berjumpa doktor segera jika mengalami tanda buasir (darah dalam najis,sakit atau gangguan pada dubur).
Petua Untuk Mempercepatkan Penyembuhan Buasir
1.
Elakkan sembelit. Makan diet yang mengandungi fiber yang tinggi, minum
banyak air dan membuat senanam yang tetap walaupun hanya dengan
berjalan. Anda juga boleh mendapatkan fiber tambahan atau pelembut
najis.
2. Jangan tunggu ketika anda ingin membuang air
besar dan cuba jangan meneran apabila membuang dan jangan
berlengah-lengah ke bilik air.
3. Buat senaman kegel
setiap hari. Ia dapat meningkatkan pengedaran di kawasan rectal dan
menguatkan otot-otot di sekeliling anus, menguatkan otot-otot di vagina
dan uretha mempercepatkan badan sembuh selepas bersalin.
4. Elakkan dari minum air tebu, memakan buah nenas dan kacang bendir.
Petua Perubatan Moden
Pilihan Ubat Buasir - Antara ubat yang boleh digunakan adalah:
- Agen Anestetik setempat
- Pengecut saluran darah setempat
- Pengurangan kerengsaan atau kegatalan
- Astringen yang mengurangkan insipadu sel-sel
- Pengurangan kesakitan dan kegatalan
Disebabkan
ubat-ubatan ini digunakan secara setempat pada kawasan dubur, maka
penyampaian ubat kepada buasir secara langsung adalah amat penting untuk
mendapatkan kesan ubat tersebut. Dalam hal ini, ubat akan disapukan ke
atas bengkak buasir luaran manakala untuk buasir dalaman, ubat
disediakan dalam bentuk supositori atau paip bagi memudahkan penyampaian
ubat ke kawasan dalaman dubur.
Agen Anestetik Setempat - Agen
anestetik atau bius setempat bertindak merngurangkan rasa sakit, gatal,
pedih dan kerengsaan pada bengkak buasir melalui halangan kepada
penyampaian isyarat sakit yang disampaikan oleh sistem saraf.
Kebiasaannya penggunaan agen ini akan menyebabkan timbulnya rasa kebas
pada bahagian yang sakit. Agen ini hanya digunakan pada buasir luaran
kerana deria saraf hanya tertumpu pada bahagian luar dubur sedangkan
saraf yang sama tidak terdapat pada bahagian dalaman dubur. Contoh ubat
yang mempunyai tindakan menghilangkan rasa sakit adalah benzokain yang diletakkan pada buasir.
Pengecutan Saluran Darah Setempat - Pengecutan
saluran darah akan menyebabkan saluran darah yang terdapat pada kawasan
dubur mengecut dan seterusnya menyebabkan bengkak buasir turut
mengecut. Pemahaman mengenai tindakan ubat ini mudah difahami dengan
mengambil contoh pengurangan air sungai yang dikawal oleh sebuah
empangan. Sekiranya air sungai yang disekat mengalir, maka paras air
sungai akan menurun sama seperti bengkak buasir yang reda akibat
pengurangan bendalir yang masuk ke kawasan tersebut. Contoh ubat yang
dikategorikan sebagai pengecut saluran darah adalah noradrenalin pada
kepekatan 0.005 hingga 0.001 peratus yang disapukan pada bengkak buasir.
Di samping itu, ubat ini juga meredakan rasa gatal pada bengkak buasir
melalui kesan bius yang lemah.
Pengurangan Kegatalan - Pengurangan
kegatalan dengan cara menahan kehilangan air serta lembapan kulit
menyebabkan timbulnya rasa gatal akibat kulit yang kering. Apabila
darjah lembapan meningkat, bengkak menjadi lembut yang seterusnya
mengurangkan kesakitan disebabkan tekanan yang terbentuk di atas bengkak
buasir. Contoh bahan yang dapat menahan kehilangan air ini adalah
seperti gliserin atau salap petrolatum yang membentuk lapisan berminyak di atas permukaan bengkak buasir.
Astringen
- Astringen bertindak melalui halangan ke atas kehilangan air atau
lembapan daripada permukaan bengkak buasir. Juga, astringen mempunyai
kesan tambahan ke atas sel-sel bengkak dengan memendakkan protein yang
terdapat pada sel-sel tersebut. Contoh ubat yang mempunyai kesan
astringen adalah krim zink oksida atau losyen kalamin yang apabila
disapu pada permukaan kulit akan meninggalkan rasa sejuk pada permukaan
kulit. Dengan kesan tersebut, rasa panas atau pedih pada bengkak buasir
dapat diredakan.
Pengurang Kesakitan - Ubat
jenis ini akan bertindak pada sel-sel bengkak ataupun juga dikenali
sebagai sel radang dengan mengurangkan proses tindakbalas yang
menyebabkan timbulnya sel-sel bengkak. Apabila tindak balas keradangan
dikurangkan, maka proses pengecutan sel boleh terjadi dan buasir dapat
diredakan. Contoh ubat yang mempunyai aktiviti seperti ini adalah krim hidrokortison pada kepekatan 0.5 peratus yang disapu ke atas buasir.
Sekiranya
seseorang mengalami penyakit buasir, penjagaan kebersihan kawasan dubur
amatlah penting untuk mencegah buasir. Langkah pencucian telah
diterangkan dan paling penting adalah mengamalkan tabiat pembuangan air
besar yang baik pada setiap hari. Pesakit selalunya akan dinasihatkan
oleh para pengamal kesihatan untuk mengambil air yang banyak dan
mengekalkan pemakanan yang seimbang dengan kandungan fiber yang tinggi
untuk mencegah terjadinya buasir. Jika buasir terjadi berulangkali atau
tidak reda selepas seminggu walaupun dengan menggunakan ubat buasir,
maka segeralah berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Terdapat
2 matlamat untuk merawat buasir. Pertamanya, menghentikan gejala atau
simptom (sakit, pedih dan gatal). Keduanya ialah mengecutkan buasir
tersebut.
a. Mandian Sitz (rendamkan bahagian rektum ke
dalam air suam) untuk selama 15-20 minit, 3 hingga 4 kali sehari.
Rawatan ini sangat mudah dan berkesan untuk mencapai kedua-dua matlamat
di atas. Anda boleh membeli ubat krim buasir dan supositori untuk
menghilangkan gangguan dan kesakitan tetapi ia tidak boleh mengecutkan
buasir. Untuk mengecutkan buasir kepada saiz asalnya, pengubatan semasa
adalah berguna. Cucikan seluruh bahagian rektum dengan air suam setiap
kali anda membuang air besar dan gunakan julap serat pukal (bulk fibre
laxative) untuk melembutkan najis. Ini boleh mengelak anda dari meneran
semasa membuang air besar. Kebanyakan orang mengambil ubat tambahan
serat pukal ini setiap hari untuk mengelak dari buasir. Tetapi perlu
diingat bahawa serat pukal ini mengambil masa beberapa hari untuk
memberi kesan. Jika anda sedang menghidapi buasir dan membuang najis
yang keras anda mungkin memerlukan ubat atau julap yang dapat
melembutkan segera najis anda untuk mengelakkan anda dari meneran yang
boleh memburukkan lagi buasir anda.
b. Bagi buasir yang
tidak dapat disembuhkan dengan rawatan konsevatif, rawatan yang standard
boleh dijalankan iaitu mengikat dengan lingkaran getah (rubber band
ligation). Satu atau dua lingkaran getah diikat di sekeliling pangkal
buasir. Ini akan menyekat peredaran darah ke buasir tersebut. Dalam masa
7 hingga 10 hari, buasir tersebut akan tertanggal keluar. Ikatan
lingkaran getah ini hanya digunakan untuk buasir dalaman sahaja. Ia
dilakukan tanpa menggunakan ubat bius dan tidak menimbulkan kesakitan.
Tetapi anda mungkin mengalami sedikit ketidakselesaan untuk beberapa
hari.
c. Koagulasi Inframerah - sinaran inframerah
dipancarkan selama satu atau dua saat untuk menghentikan bekalan darah
ke buasir. Anda mungkin terasa bahang panas ketika prosedur ini
dilakukan dan terdapat sedikit pendarahan berlaku dalam beberapa hari
selepas itu. Prosedur ini sama juga seperti ikatan lingkaran getah,
dilakukan hanya untuk buasir dalaman. Tetapi ia lebih cepat dan kurang
menyebabkan jangkitan.
d. Elektrokoagulasi bipolar -
Prosedur ini dikenali juga dengan nama Bicap, adalah sama seperti
prosedur Koagulasi Inframerah dan ia mempunyai kebaikan dan keburukan
yang sama.
e. Terapi laser - pancaran laser akan
mengewapkan tisu buasir. Tetapi prosedur ini didapati lebih mahal dan
tidak menunjukkan sebarang kelebihannya dari prosuder-prosedur lain. Ia
perlu dijalankan dengan berhati-hati dari segi kedalaman dan lokasinya
bagi mengelakkan pendarahan dan kesakitan kepada pesakit.
f.
Pembedahan biasanya dilakukan sebagai langkah terakhir apabila
kedua-dua jenis buasir tersebut menjadi semakin teruk dan
rawatan-rawatan lain tidak berjaya menyembuhkannya. Kaedah ini didapati
berkesan tetapi pesakit terpaksa tinggal di dalam hospital sehari dua
dan mengambil masa yang agak lama untuk sembuh berbanding dengan
pendekatan lain. Rawatan yang agresif ini boleh menyembuhkan buasir
dalam beberapa hari sahaja. Tetapi ia mungkin mengambil masa 2 - 4
minggu untuk pulih sepenuhnya. Jika tidak, anda perlu berjumpa doktor
semula dan berbincang dengannya. Masalah-masalah perubatan penyakit
keradangan usus atau jangkitan usus boleh menyerupai gejala-gejala
buasir. Oleh itu, jika keadaan anda masih berterusan walaupun telah
mendapat rawatan asasnya, anda perlu berjumpa doktor.